Sunday, April 8, 2007

CATATAN PERTEMUAN SDR. FAUZI & ILU DENGAN MANTAN GURU BESAR: CIKGU HAJI JAAMAN HAJI ABU

Sdra/i kalian, salam alumni!

Alhamdulillah saya telah menyempurnakan amanah sdra/i bagi saya mewakili TiNTA untuk mengadakan pertemuan ulung secara rasmi dengan Mantan Guru Besar Cik Gu Jaaman.

Pertemuan berlangsung dalam suasana keceriaan dengan mengenang kembali kisah-kisah lama di TI, terutamanya di tahun awal penubuhan SMTT. Saya berdua dengan Ahmad Khairuddin (Ilu - F5E 77/78) bertolak dari KL pukul 1100 pagi melalui exit Nilai ke Mantin. Walaupun sudah agak biasa dengan keadaan Nilai/Mantin sebelum ini, tetapi agak menakjubkan dengan pembangunan yang pesat ekoran daripada limpahan dan curahan aktiviti dari KLIA Sepang. Mungkin sdra/i boleh mengambil peluang ini dengan membuat penilaian lebih serius untuk melabur di kawasan ini.

Sampai di Kolej Legenda Mantin (Ciku Gu Jaaman bekerja secara sambilan di Kolej Legenda dengan penumpuan di bidang kaunseling dan pemasaran) pukul 1200 tengahari, Mantan Guru Besar sudah sedia menanti dengan lenggoknya seperti dulu-dulu ketika berjalan-jalan di sekitar asrama dengan tangan kebelakang - kadang kala rotan ditangan (ingat lagi ke).

Kembali ke nostalgia lama rupa paras cikgu masih seperti dulu tidak banyak berubah walaupun sudah berusia 68 tahun (22 April ini adalah genap Mantan Guru Besar 68 tahun). Mungkin kerana curahan bakti kepada anak bangsa dengan mendidik dan mengajar kita untuk menjadi insan yang sempurna - sama-sama lah kita menadah tangan memohon restu dari yang Maha Kuasa agar Mantan Guru Besar di beri keberkatan.


Terus dicium tangan dan dipeluk tubuhnya yang kecil tidak sebesar badan saya dan Ilu, mengenang air mata buat seketika tatkala mengingatkan kisah lampau. Banyak tunjuk ajar yang diberikan olehnya sehingga saya sampai keperingkat ini. Terus kami bertiga beredar ke sebuah restoran mamak untuk makan tengahari di pekan mantin. Tatkala makan kami bersembang kisah lama, bertanya khabar dari cikgu ke atas anak-anak muridnya, satu persatu dihitung dan dikira - persoalan timbul dikepala saya "Pernahkah kita sebagai anak murid cikgu dalam sekumit hidup kita ini terfikirkan untuk mengingati cikgu-cikgu yang pernah mendidik kita sebelum ini?" Tetapi bagi cikgu, satu-satu nama disebut dan diulang, nama Asri, Ismail Mat Deris, Shamsuddin, Razak, Al Johari, Rohana, Syed Abdullah, Zaradah, Wan Burhanuddin, Lukhman diulang dan ditanya. Nampak keceriaan dimukanya setelah di maklumkan kedudukan kita masing-masing dan kepuasan beliau mendidik kita terserlah di air mukanya yang nampak ikhlas.

Tidak terasa lazatnya makanan yang dihidang, jam telahpun menunjukkan pukul 1.25 tengahari, waktu kami beredar untuk bersama-sama berjemaah zohor di surau Kolej Legenda dan sempat bersama dengan cikgu melaksanakan fardhu yang wajib tuntutan illahi. Selepas solat diberitahu hajat kedatangan untuk melantik cikgu sebagai penasihat. Dengan nada yang ikhlas beliau sanggup untuk menggalas amanah dan masih sanggup untuk bersama-sama TiNTA. Dipersetujui untuk menyambut kedatangan kita ahli TiNTA pada 5 Hb Mei 2007 (hari Sabtu) di kediaman beliau di Kampong Larong Tengah, Kuala Klawang (bukannya 28 April seperti yang dicadangkan sebelum ini). Maklumat lanjut akan dihebahkan oleh Sdra. Setiausaha dalam masa terdekat.

Lepas solat Zohor, tangan cikgu dicium, tubuhnya kecil dipeluk dan kami berdua meninggalkan seribu kenangan setelah 27 tahun tidak berkesempatan bertemu dengannya - MANTAN GURU BESAR Cikgu Jaaman Haji Abu.


Sekian, FAUZI AWANG