Monday, April 23, 2007

BERSARAPAN DI RESTOREN LEHA KELFOOD

Salam Sejahtera,
....bersarapan pagi dengan nasi berlauk, nasi dagang, nasi kerabu dll. di RESTORAN LEHA KELFOOD, Jalan Melati Utama 4, Taman Melati Utama 53100 Kuala Lumpur.
(terletak berhadapan MRR2 di antara persimpangan lebuhraya gombak/karak dan MRR2 Jalan Genting Kelang @Taman Melati)

Bagi pihak Saudara Fauzi (ketua pelajar 1978), Saudara Khairuddin (ILU) dan saya ingin mengajak semua bekas pelajar smtt ~ tak kira lah batch mana yang berkelapangan untuk bersama bersarapan pagi di Restoran Leha Kelfood pada hari Sabtu 28 April 2007 sekitar jam 9.00 pagi.

Majlis yang tidak formal ini diharap dapat menemukan lebih ramai lagi bekas pelajar SMTT dari segenap peringkat yang mungkin, seterusnya dapat mengeratkan silaturrahim yang sediada.

Untuk maklumat lanjut kalau tersesat jalan bolehlah hubungi saya Mustaffa di 017-8808718 atau Khairuddin(ilu) di 012-2083615

Wassalam
Mustaffa Abdullah

Sunday, April 22, 2007

JAWATANKUASA PENAJA ALUMNI SMTT: TiNTA 2007

Salam Sejahtera,

Berikut adalah senarai Ahli jawatan Kuasa Penaja Alumni SMTT: TiNTA 2007.



PENAUNG: GURU BESAR SMTT

PENASIHAT: CIKGU JAAMAN HAJI ABU

PRESIDEN: FAUZI AWANG

TIMBALAN PRESIDEN: YASIMIN YUSUF

SETIAUSAHA: PROF. MADYA DR. HAMZAH JUSOH

BENDAHARI: ZAIDI IBRAHIM

AHLI JAWATAN KUASA:

JAWATAN KUASA SOSIAL & KEBAJIKAN:
1. LOKMAN MOHD
2. MOHD KHAIRUDIN AB. RAHMAN
JAWATAN KUASA KEUSAHAWANAN:
1. ISMAIL MAT DERIS
2. KAMARUL BAHRIN BIN CHE MOHAMED
JAWATAN KUASA PENDIDIKAN:
1. MOHD ASRI HUSIN
2. NORMALA MAT AJID
JAWATAN KUASA SUKAN:
1. RAHASNAN ABD. RASHID
2. WAN BURHANUDDIN B. WAN ISMAIL
JAWATAN KUASA PUBLISITI:
1. ZARADAH BT. ISMAIL
2. ROHANA MOKHTAR

PEMERIKSA KIRA-KIRA:
1. MOHD AL JOHARI HASSAN
2. ZAMRI RAZAK

PEMEGANG AMANAH:
1. AKAN DITENTUKAN
2. AKAN DITENTUKAN

PENANGGUHAN KUNJUNGAN HORMAT KE RUMAH MANTAN GURU BESAR CIKGU JAAMAN

Salam Sejahtera,

Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa rancangan untuk melakukan kunjungan hormat ke rumah mantan Guru Besar SMMT, Cikgu Jaaman pada 5hb. Mei 2007 telah ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Ini disebabkan pada tarikh tersebut, Cikgu Jaaman mempunyai komitmen bagi menguruskan kenduri kahwin (kalau tak silap) anak buahnya.

Justeru itu, Sdr. Fauzi akan berbincang semula dengan Cikgu Jaaman, dijangkakan pada 1hb. Mei 2007 ini. Kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan pada hari tersebut, bolehlah ikutserta dalam kunjungan Sdr. Fauzi ke Kuala Klawang. Sekiranya berminat, bolehlah menghubungi Sdr. Fauzi di no. 019-2356293.

InsyaAllah, sekiranya tidak berhalangan dan dipersetujui oleh Cikgu Jaaman, tarikh kunjungan hormat tersebut akan dilakukan pada 19hb. Mei 2007. Diharap saudara-saudari dapat merezabkan tarikh ini untuk tujuan di atas.

Untuk maklumat teman-teman, Sdr. Fauzi akan mengerjakan Umrah dan akan berangkat pada 12hb. Mei 2007. Sama-sama kita mendoakan agar perjalanan beliau dan keluarga akan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah yang maha esa.

Sekian terima kasih.

Wednesday, April 11, 2007

KUNJUNGAN HORMAT KE RUMAH MANTAN GURU BESAR, CIKGU JAAMAN

Salam Sejahtera,
Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa kunjungan hormat ke rumah Mantan Guru Besar, Cikgu Jaaman akan dilakukan pada 5 hb. Mei 2007 (hari Sabtu) di kediaman beliau di Kampong Larong Tengah, Kuala Klawang (bukannya 28 April seperti yang dicadangkan sebelum ini).
Maklumat lanjut akan dihebahkan oleh Sdra. Setiausaha dalam masa terdekat. Kepada ahli-ahli TiNTA yang berkesempatan dan ingin turut serta dalam kunjungan hormat ini, diharap dapat memberikan butir-butir seperti nama, email dan no. telefon bagi memudahkan urusan logistik. Maklumat tersebut bolehlah diemailkan kepada alumnismtt@yahoo.com.my
Terima kasih.

Sunday, April 8, 2007

CATATAN PERTEMUAN SDR. FAUZI & ILU DENGAN MANTAN GURU BESAR: CIKGU HAJI JAAMAN HAJI ABU

Sdra/i kalian, salam alumni!

Alhamdulillah saya telah menyempurnakan amanah sdra/i bagi saya mewakili TiNTA untuk mengadakan pertemuan ulung secara rasmi dengan Mantan Guru Besar Cik Gu Jaaman.

Pertemuan berlangsung dalam suasana keceriaan dengan mengenang kembali kisah-kisah lama di TI, terutamanya di tahun awal penubuhan SMTT. Saya berdua dengan Ahmad Khairuddin (Ilu - F5E 77/78) bertolak dari KL pukul 1100 pagi melalui exit Nilai ke Mantin. Walaupun sudah agak biasa dengan keadaan Nilai/Mantin sebelum ini, tetapi agak menakjubkan dengan pembangunan yang pesat ekoran daripada limpahan dan curahan aktiviti dari KLIA Sepang. Mungkin sdra/i boleh mengambil peluang ini dengan membuat penilaian lebih serius untuk melabur di kawasan ini.

Sampai di Kolej Legenda Mantin (Ciku Gu Jaaman bekerja secara sambilan di Kolej Legenda dengan penumpuan di bidang kaunseling dan pemasaran) pukul 1200 tengahari, Mantan Guru Besar sudah sedia menanti dengan lenggoknya seperti dulu-dulu ketika berjalan-jalan di sekitar asrama dengan tangan kebelakang - kadang kala rotan ditangan (ingat lagi ke).

Kembali ke nostalgia lama rupa paras cikgu masih seperti dulu tidak banyak berubah walaupun sudah berusia 68 tahun (22 April ini adalah genap Mantan Guru Besar 68 tahun). Mungkin kerana curahan bakti kepada anak bangsa dengan mendidik dan mengajar kita untuk menjadi insan yang sempurna - sama-sama lah kita menadah tangan memohon restu dari yang Maha Kuasa agar Mantan Guru Besar di beri keberkatan.


Terus dicium tangan dan dipeluk tubuhnya yang kecil tidak sebesar badan saya dan Ilu, mengenang air mata buat seketika tatkala mengingatkan kisah lampau. Banyak tunjuk ajar yang diberikan olehnya sehingga saya sampai keperingkat ini. Terus kami bertiga beredar ke sebuah restoran mamak untuk makan tengahari di pekan mantin. Tatkala makan kami bersembang kisah lama, bertanya khabar dari cikgu ke atas anak-anak muridnya, satu persatu dihitung dan dikira - persoalan timbul dikepala saya "Pernahkah kita sebagai anak murid cikgu dalam sekumit hidup kita ini terfikirkan untuk mengingati cikgu-cikgu yang pernah mendidik kita sebelum ini?" Tetapi bagi cikgu, satu-satu nama disebut dan diulang, nama Asri, Ismail Mat Deris, Shamsuddin, Razak, Al Johari, Rohana, Syed Abdullah, Zaradah, Wan Burhanuddin, Lukhman diulang dan ditanya. Nampak keceriaan dimukanya setelah di maklumkan kedudukan kita masing-masing dan kepuasan beliau mendidik kita terserlah di air mukanya yang nampak ikhlas.

Tidak terasa lazatnya makanan yang dihidang, jam telahpun menunjukkan pukul 1.25 tengahari, waktu kami beredar untuk bersama-sama berjemaah zohor di surau Kolej Legenda dan sempat bersama dengan cikgu melaksanakan fardhu yang wajib tuntutan illahi. Selepas solat diberitahu hajat kedatangan untuk melantik cikgu sebagai penasihat. Dengan nada yang ikhlas beliau sanggup untuk menggalas amanah dan masih sanggup untuk bersama-sama TiNTA. Dipersetujui untuk menyambut kedatangan kita ahli TiNTA pada 5 Hb Mei 2007 (hari Sabtu) di kediaman beliau di Kampong Larong Tengah, Kuala Klawang (bukannya 28 April seperti yang dicadangkan sebelum ini). Maklumat lanjut akan dihebahkan oleh Sdra. Setiausaha dalam masa terdekat.

Lepas solat Zohor, tangan cikgu dicium, tubuhnya kecil dipeluk dan kami berdua meninggalkan seribu kenangan setelah 27 tahun tidak berkesempatan bertemu dengannya - MANTAN GURU BESAR Cikgu Jaaman Haji Abu.


Sekian, FAUZI AWANG

Sunday, April 1, 2007

WARKAH DARI MUSTAFFA ABDULLAH SMTT 78/79


Assalamualaikum Wm Wbt.,

Sekali lagi tahniah di atas kejayaan mengerakkan penubuhan TiNTA.

Sesungguhnya ramai di kalangan pelajar SMTT amat mengharapkan penubuhan ini, saya di dalam batch 1978/79 pun pernah bercadang tetapi tak ramai yang sanggup dan ada komitmen untuk menggerakkannya.

Untuk itu, saya telah pernah mendaftarkan alamat email ini - alumni_smtt@yahoo.com. bagi tujuan tersebut, tapi tidak terguna. Tetapi dengan adanya akaun email yahoo telah membolehkan......... dengan percumanya.

Kewujudan yahoogroup alumni_smtt (http://groups.yahoo.com/group/alumni_smtt/) dan;
Homepage group di http://www.geocities.com/alumni_smtt.(buat sementara waktu homepage ini saya cilok link saja dari http://alumnismtt.blogsopt.com)(apa yang keluar di http://alumnismtt.blogspot.com akan keluar dalam homepage ini. Tapi di masa akan datang eloknya TiNTA ada kandungan sendiri yang sebetulnya dalam homepage ini.
Memandangkan semuanya telah ada tersedia, tak ada faedahnya kalau saya simpan sahaja. Jadi saya nak tawarkan kepada TiNTA menggunakan kemudahan ~ percuma. Yang perlu cuma saudara semua perlu mendaftarkan akaun email yahoo dan maklumkan kepada saya untuk membolehkan saya menjadikan saudara sebagai moderator untuk group ini. Menggunakan email lain pun boleh 'subscribe' kepada group ini tetapi untuk menjadi moderator dan memanfaatkan kemudahan yang ada nak kena ada akaun email yahoo juga ~ cara mereka berniaga.

Dari pengalaman saya komunikasi melalui/menggunakan yahoogroup lebih berkesan. Semua ahli boleh menerima email dari semua ahli yang menghantar kepada group. Fail-fail dokumen seperti cadangan perlembagaan, borang dan sebagainya boleh diletakkan di dalam homepage group dan semua ahli boleh lihat dan download begitu juga dengan maklumat (database) ahli juga boleh di letakkan di homepage group ini.

Sudi-sudikanlah melawat dan juga menyertai group smtt7879 di http://groups.yahoo.com/group/smtt7879 dan juga homepage di http://www.geocities.com/smtt7879/

Janganlah risau mengenai macamana nak guna yahoogroup dan geocities homepage ini. Insyaallah saya akan bantu sepenuhnya dengan sedapat mungkin sehingga sempurna sepenuhnya. Untuk maklumat bantuan boleh hubungi saya di nombor 62861211 atau 0178808718

Wassalamualaikum Wm. Wbt.


Mustaffa Abdullah SMTT7879

Friday, March 30, 2007

DERAF PERLEMBANGAAN TiNTA

UNDANG-UNDANG
BAGI PERSATUAN BEKAS PELAJAR
SEKOLAH MENENGAH TEKNIK TERENGGANU
(TiNTA)
……………………………………………………………………………………………………………

FASAL 1 NAMA

(1) Persatuan ini dikenali dengan nama PERSATUAN BEKAS
PELAJAR SEKOLAH MENENGAH TEKNIK TERENGGANU (TiNTA)

Selepas ini disebut “Persatuan”.


FASAL 2 TEMPAT URUSAN

(2) Alamat dan tempat urusan persatuan ialah:

d/a CERANA DESIGN ASSOCIATES SDN BHD
No. 29B, Jalan Tengku Zabedah,
Jalan 9/J,
40100 Shah Alam, Selangor

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat ialah:

d/a CERANA DESIGN ASSOCIATES SDN BHD
No. 29B, Jalan Tengku Zabedah,
Jalan 9/J,
40100 Shah Alam, Selangor

Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pesatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.


FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

(a) (Jika Persatuan bercadang hendak menggunakan bendera, lambang, lencana atau simbol-simbol lain, huraian mengenai rekabentuk dan warnanya hendaklah dinyatakan dengan jelas dan tepat).

(b) Contoh simbol-simbol itu yang berwarna hendaklah dilampirkan.


FASAL 4 TUJUAN DAN OBJEKTIF

Persatuan ini bukan satu badan politik dan tidak memihak pada mana-mana badan politik, yang bertujuan :-

(i) Mempertemu dan menyatukan bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Terengganu
(ii) Membina jaringan dan hubungan silaratulrahim di antara ahli-ahli persatuan bagi kepentingan bersama.
(iii) Menggembelingkan usaha untuk menyalurkan khidmat bantuan, nasihat dan kemudahan dari semasa ke semasa kepada golongan tertentu, terutama sekali kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Teknik Terengganu.
(iv) Mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menjanakan pembangunan modal insan dan meningkatkan kedudukan ekonomi di kalangan ahli seperti penganjuran seminar, kursus dan program-program keusahawanan.
(v) Menjalankan aktiviti-aktiviti yang boleh menjanakan pendapatan kepada persatuan bagi mempastikan kemajuan dan kelicinan pengurusan persatuan.
(vi) Mengadakan kegiatan-kegiatan riadah, sosial dan kebajikan bagi kepentingan ahli-ahli dan keluarga.


FASAL 5 KEAHLIAN

(1) Keahlian Persatuan adalah terbuka kepada semua bekas pelajar dan bekas guru/kakitangan Sekolah Menengah Teknik Terengganu, berwarganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas. Jenis keahlian adalah terdiri daripada :-
(a) Ahli Biasa
· warganegara Malaysia;
· Berumur 18 tahun ke atas; dan
· bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Terengganu
(b) Ahli Seumur Hidup
· Ahli Biasa; dan
· Membayar yuran keahlian seperti ditetapkan di dalam Fasal 6.
(c) Ahli Bersekutu
· warganegara Malaysia;
· berumur 18 tahun ke atas;
· bekas guru sekolah Menengah Teknik Terengganu atau;
· bekas kakitangan Sekolah Menengah Teknik Terengganu

(2) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.

(3) Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Persatuan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.



FASAL 6 BAYARAN MASUK,YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1) Bayaran pendaftaran menjadi ahli ialah sebanyak RM50.00 dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:-

(i) Ahli Biasa
Yuran Tahunan = RM50.00

(ii) Ahli Seumur Hidup
Yuran Ahli = RM200.00

(iii) Ahli Bersekutu
Bayaran ahli seumur hidup = RM50.00 (termasuk yuran pendaftaran)

(2) Yuran masuk dan yuran ahli hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 3 bulan dari tarikh ia diterima menjadi ahli.

(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada enam bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh Setiausaha atau wakilnya dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

(4) Ahli yang membiarkan hutangnya lebih dari satu tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang.


FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.


FASAL 8 MESYUARAT AGUNG

(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan atau membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb.Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:-

(a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan di dalam tahun lalu;

(b) menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;

(c) memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk 2 tahun yang akan datang; dan

(d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(5) Mesyuarat Agung Khas bagi persatuan ini boleh diadakan:-

(a) Apabila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(8) Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah digunakan untuk mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.


FASAL 9 JAWATANKUASA

(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:-

Seorang Presiden

Seorang Timbalan Presiden

Seorang Setiausaha

Seorang Penolong Setiausaha (dilantik oleh Presiden)

Seorang Bendahari

12 Orang Ahli Jawatankuasa Biasa (2 dilantik oleh Presiden)

(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula setiap 2 tahun.

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa;

(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8) Jika seorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.


FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1) Presiden, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.

(2) Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.

(3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari daripada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Persatuan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Persatuan, 1966.

(4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua pekara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi atau Setiausaha.

(6) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.




FASAL 11 KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walaubagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM1,000.00 (Satu Ribu Ringgit Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi/Timbalan Pengerusi, Setiausaha/Penolong Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Pengerusi/Timbalan Pengerusi, Setiausaha/Penolong Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa diantara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.

(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000.00 (Satu ribu Ringgit) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 1,000.00 (Satu Ribu Ringgit) bagi sesuatu masa bolehlah diluluskan oleh Pengerusi atau Setiausaha dan Bendahari.

(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

(6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb. Januari dan berakhir pada 31hb. Disember tiap-tiap tahun.


FASAL 12 PEMERIKSA KIRA-KIRA

(1) Dua orang yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.


FASAL 13 PEMEGANG AMANAH

(1) Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

(2) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.

(3) Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakkan jawatan atau pemecatan seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam mesyuarat agung.


FASAL 14 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1) Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.


FASAL 15 PENASIHAT/PENAUNG

(1) Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang
layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat
orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
(2) Jawatankuasa juga boleh melantik tidak lebih daripada tiga (3) orang penasihat yang difikirkan layak menjadi penasihat bagi Persatuan dengan syarat orang-orang yang dilantik menyatakan persetujuannya secra bertulis.


FASAL 16 LARANGAN

(1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;

(2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

(3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

(4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Persatuan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.


FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Persatuan dalam masa 60 hari daripada tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Persatuan.



FASAL 18 PEMBUBARAN

(1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Persatuan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.






……………………………………..……. ..…………………………………………….
Pengerusi Setiausaha

Nama: Nama: